Pengenalan Indeks Keharmonian Perusahaan (IHI)

A. DEFINISI

Indeks Keharmonian Perusahaan (IHI) merupakan inisiatif Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) sebagai satu instrumen untuk mengukur tahap keharmonian perusahaan dalam usaha mempertingkatkannya ke arah yang lebih baik. Dalam suasana tempat kerja yang harmoni, wujud hubungan yang baik antara majikan dengan pekerja dan juga kesatuan sekerja seperti saling hormat-menghormati, bekerjasama, bertolak ansur dan mengamalkan pengurusan sumber manusia yang baik. Kajian ini secara tidak langsung membantu mengarus perdana usaha memelihara dan mempertingkatkan keharmonian perusahaan merentas industri nasional.

Skor IHI yang diperoleh boleh dijadikan sebagai penanda aras keharmonian perusahaan negara dan boleh diukur secara berkala agar trend keharmonian perusahaan negara boleh dipantau oleh pihak JPPM dan dijadikan rujukan oleh majikan, kesatuan sekerja dan pelabur asing. Selain itu, hasil dapatan tentang indeks keharmonian perusahaan yang diperoleh boleh dijadikan rujukan kepada pihak JPPM dalam merangka pelan tindakan bagi meningkatkan keharmonian perusahaan di negara ini.

IHI telahpun berjaya didaftarkan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sebagai harta intelek rasmi milik JPPM pada 9 Julai 2019. Hasil Kajian IHI ini akan menjadi sumber data utama bagi indikator ‘Cooperation in Labor-Employer Relations’ dalam kajian indicator antarabangsa iaitu World Competitiveness Yearbook (WCY) oleh International Management Development (IMD). Kajian indikator ini akan menentukan ranking daya saing negara yang amat penting untuk menarik pelabur asing dan pengukuhan ekonomi negara.

B. CIRI-CIRI KEHARMONIAN PERUSAHAAN

  1. Pekerja dan majikan saling bekerjasama
  2. Pekerja dan majikan saling mempercayai
  3. Pekerja dan majikan saling menghormati
  4. Hubungan mesra antara pekerja dengan majikan
  5. Keakraban antara pekerja dan majikan
  6. Konflik antara pekerja dengan majikan yang rendah
  7. Keamanan di tempat kerja (tiada mogok)

C. LIMA (5) DIMENSI

  1. Hubungan Memupuk (Nurturing Relationship) – 6 item

    Merujuk kepada usaha pekerja dan majikan untuk membina dan mengekalkan hubungan baik yang berterusan sesama mereka.

  2. Keterhubungan (Connectedness) - 5 item

    Merujuk kepada ikatan bersama atau keakraban antara pekerja dan majikan.

  3. Saling Bekerjasama (Mutual Cooperation) – 3 item

    Merujuk kepada kesanggupan ahli untuk menyelaraskan aktiviti-aktiviti mereka dalam usaha untuk membantu semua ahli mencapai matlamat mereka.

  4. Saling Berdamai (Mutual Peacemaking) – 5 item

    Merujuk kepada kesediaan pekerja dan majikan dalam membantu mencegah,menyelesaikan atau mengurangkan konflik yang tidak membina antara pekerja dan majikan.

  5. Bertanggungjawab (Being Responsible) – 5 item

    Merujuk kepada rasa tanggungjawab organisasi dan pekerja dalam menunaikan janji dan dalam menjalankan kewajiban mereka.