Co-Determination (CODET)

Apa itu Co-Determination?

Co-determination atau penetapan bersama mengikut kamus Cambridge merujuk kepada satu sistem di mana kedua-dua pihak majikan dan pekerja bersama-sama terlibat dalam membuat keputusan penting di dalam syarikat.

 

RMKe-12 dalam Bab 10 menerusi Strategi A1, usaha-usaha perlu dilaksanakan bagi mempromosi kesaksamaan pampasan pekerja (CE) melalui penyertaan pekerja di peringkat organisasi. Sehubungan itu, pendekatan co-determination wajar diperkenalkan untuk membolehkan penglibatan perwakilan pekerja dan majikan secara bersama dalam pembuatan keputusan.

 

Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) telah melaksanakan Kajian National Industrial Harmony Index (IHI) 2022 atau IHI 2022. Dapatan IHI 2022 menunjukkan elemen-elemen co-determination telah diamalkan di organisasi semasa menghadapi keadaan sukar kesan pandemik COVID-19. Majikan dan pekerja didapati menjalinkan keterhubungan dan saling bekerjasama dalam membuat keputusan bersama dengan menggunakan pelbagai saluran formal dan tidak formal yang interaktif.

 

Elemen-elemen co-determination ini telah menjadi faktor penyumbang kepada kelangsungan operasi organisasi dan mengekalkan pekerjaan serta meminimumkan konflik seterusnya telah menggalakkan semangat kekitaan yang membawa kepada kejayaan organisasi. Penandaarasan yang dilaksanakan dalam IHI 2022 mendapati bahawa negara Jerman merupakan rujukan utama dunia bagi amalan co-determination yang telah memperkenalkan Co-Determination Act 1976.

 

Model ini merupakan struktur hierarki perwakilan pekerja yang bermula dengan Tahap 1: Kolaborasi Informal, seterusnya Tahap 2: Kesatuan Sekerja, kemudian Tahap 3: JCC dan peringkat tertinggi iaitu Tahap 4: Co-Determination. Pada tahap 1, syarikat bergantung kepada kolaborasi informal tanpa badan perwakilan rasmi. Ini merupakan tahap majoriti syarikat yang berada di Malaysia terutamanya syarikat PKS dan Mikro.  Pembangunan model ini memudahkan JPPM menyediakan kaedah pelaksanaan co-determination yang berbeza berdasarkan tahap perwakilan pekerja masing-masing.