Industrial Harmony Index (IHI)

Apa itu IHI?

Industrial Harmony Index (IHI) merupakan satu instrumen bagi mengukur tahap hubungan majikan dan pekerja di Malaysia. Instrumen IHI adalah satu inisiatif oleh Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) dan merupakan yang pertama seumpanya dibangunkan di Asia Tenggara pada tahun 2017. Pengukuran IHI adalah berdasarkan 24 item daripada 5 Dimensi iaitu Hubungan Memupuk, Keterhubungan, Saling Bekerjasama, Saling Berdamai dan Bertanggungjawab.

 

IHI telahpun berjaya didaftarkan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sebagai harta intelek rasmi milik JPPM pada 9 Julai 2019. Hasil Kajian IHI ini dapat menyokong ranking negara bagi kajian dayasaing antarabangsa iaitu World Competitiveness Yearbook (WCY) oleh International Institute for Management Development (IMD). Kajian ini merupakan rujukan utama yang dapat menarik pelabur asing ke Malaysia bagi pengukuhan ekonomi negara.

 

Skor IHI Nasional yang diperolehi juga menjadi penanda aras keharmonian perusahaan negara dan boleh diukur secara berkala agar trend keharmonian perusahaan negara boleh dipantau oleh pihak JPPM serta seterusnya dijadikan rujukan oleh majikan, pekerja/kesatuan sekerja dan pelabur asing.  

 

Selain itu, hasil keseluruhan dapatan IHI yang diperoleh boleh dijadikan rujukan kepada pihak JPPM dalam merangka pelan tindakan bagi meningkatkan keharmonian perusahaan di negara ini.

Apa itu IHI SA?

Industrial Harmony Index Self-Assessment (IHI SA) merupakan suatu penilaian kendiri syarikat yang mengambil kira pandangan pekerja sebagaimana Employee Engagement Survey (EES) berdasarkan 24 Item daripada 5 Dimensi instrumen IHI yang telah dibangunkan oleh Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM).

 

IHI SA pertama kali telah diperkenalkan oleh JPPM pada tahun 2024 yang mana syarikat di Malaysia dapat menjalankan survei pekerja yang standard dan perkhidmatan ini disediakan secara percuma menerusi Sistem Industrial Relations Information System (IRIS).

 

HR Syarikat akan berperanan sebagai Pengurus IHI Majikan (PIM) dengan mempunyai Akaun Pengguna dan Dashboard serta dapat memantau pelaksanaan IHI SA di syarikat masing-masing hanya di hujung jari dan dengan data real time  apabila berdaftar di Sistem IRIS.

 

Manfaat kepada syarikat yang berdaftar adalah berpeluang memperoleh Skor IHI Syarikat, Kad Laporan IHI, Sijil Penarafan Syarikat Harmoni (SPSH) dan pengiktirafan di peringkat nasional sebagai  Syarikat Harmoni 2024 (tahun adalah mengikut tahun pelaksanaan).

Bagaimana IHI dan IHI SA diukur?

Berdasarkan 24 Item (soalan) daripada lima (5) Dimensi Instrumen IHI yang telah dibangunkan oleh JPPM seperti berikut:

01

Hubungan Memupuk (Nurturing Relationship) – 6 item

Merujuk kepada usaha pekerja dan majikan untuk membina dan mengekalkan hubungan baik yang berterusan sesama mereka.

02

Keterhubungan (Connectedness) - 5 item

Merujuk kepada ikatan bersama atau keakraban antara pekerja dan majikan.

03

Saling Bekerjasama (Mutual Cooperation) – 3 item

Merujuk kepada kesanggupan ahli untuk menyelaraskan aktiviti-aktiviti mereka dalam usaha untuk membantu semua ahli mencapai matlamat mereka.

04

Saling Berdamai (Mutual Peacemaking) – 5 item

Merujuk kepada kesediaan pekerja dan majikan dalam membantu mencegah,menyelesaikan atau mengurangkan konflik yang tidak membina antara pekerja dan majikan.

05

Bertanggungjawab (Being Responsible) – 5 item

Merujuk kepada rasa tanggungjawab organisasi dan pekerja dalam menunaikan janji dan dalam menjalankan kewajiban mereka.

Terdapat empat (4) tahap bagi julat skor IHI seperti jadual berikut:

Tahap Keharmonian Perusahaan Julat Skor Peratusan (%)

Soalan Lazim tentang IHI & IHI SA

Adakah IHI Nasional mempunyai tempoh?

IHI Nasional telah dilaksanakan oleh JPPM bermula pada tahun 2017 secara tahunan sehingga tahun 2020.  Manakala bagi tahun 2022, IHI Nasional ini telah dilaksanakan pertama kalinya secara dwi tahunan.

Adakah IHI SA mempunyai tempoh?

Pihak syarikat boleh menggunakan perkhidmatan IHI SA yang dibangunkan oleh JPPM pada setiap tahun dan ianya adalah percuma.

Siapa yang terlibat dalam survei IHI Nasional?

Semua syarikat dan pekerja di Malaysia adalah dijemput untuk terlibat menjawab survei IHI bagi mengukur tahap keharmonian perusahaan di tempat pekerjaan dan seterusnya menyumbang kepada IHI Nasional.

Siapa yang terlibat dalam survei IHI SA?

Semua syarikat dan pekerja di Malaysia adalah layak dan digalakkan untuk menjalankan IHI SA bagi mengukur tahap keharmonian perusahaan di tempat pekerjaan.

Bagaimanakah cara sekiranya syarikat ingin menyertai IHI Nasional ini?

Hebahan IHI Nasional akan dibuat di portal rasmi JPPM atau boleh melayari pautan https://iris.mohr.gov.my/login

 

Sebarang pertanyaan berkaitan IHI ini boleh menghubungi talian di bawah:

Bagaimanakah cara sekiranya syarikat ingin menyertai IHI SA ini?

Penyertaan dan pendaftaran untuk IHI SA ini boleh dilayari di pautan https://iris.mohr.gov.my/login

 

Sebarang pertanyaan berkaitan IHI SA ini boleh menghubungi talian di bawah:

  • Nombor telefon: 03 – 8886 5434

Apakah faedah skor IHI kepada industri dan negara?

Pemantauan keharmonian negara menerusi IHI Nasional akan dapat membantu Jabatan dan Kementerian Sumber Manusia mengatur pelan strategik dalam mempertingkatkan dan memperbaiki hubungan pekerja-majikan dalam negara. Ini secara tidak langsung dapat memelihara suasana perhubungan pekerja-majikan yang kondusif, positif dan harmoni yang menyumbang kepada perkembangan ekonomi dan usaha untuk meningkatkan produktiviti negara.

Apakah faedah IHI SA kepada pekerja dan syarikat?

1. Memperolehi survei penilaian syarikat secara PERCUMA.

 

2. Syarikat mempunyai Dashboard sendiri bagi memperolehi fungsi-fungsi berikut:

  • Skor IHI Syarikat terkini dan terdahulu
  • Pemantauan secara Live bilangan responden menjawab survei IHI SA
  • Hebahan survei IHI SA secara pantas
  • Mempunyai Kad Laporan IHI SA syarikat
  • Mempunyai Sijil Penarafan Syarikat Harmoni (SPSH)

 

3. Menikmati hebahan dan analisis survei yang sistematik dan unbiased daripada pihak ketiga (JPPM).

 

4. Mengenalpasti kelebihan dan kelemahan tahap keharmonian syarikat melalui Kad Laporan IHI SA.

 

5. Memperbaiki hubungan baik antara majikan dan pekerja bagi meningkatkan prestasi dan produktiviti pekerja dan organisasi secara menyeluruh.

 

6. Menjadi salah satu pelaporan penilaian syarikat kepada pengurusan tertinggi dan pemegang taruh syarikat.

 

7. Meningkatkan imej syarikat melalui SPSH dan seterusnya menarik minat pelabur dan pencari kerja.

Di manakah boleh dirujuk skor tahunan IHI Nasional?

Skor tahunan IHI Nasional boleh dirujuk di pautan https://jpp.mohr.gov.my/ihi-dapatan-ihi-nasional-dan-ihi-self-assessment/