Code of Conduct for Industrial Harmony (COC) atau Tatacara Untuk Keharmonian Perusahaan ialah panduan dan rujukan kepada majikan, pekerja serta kesatuan sekerja dalam menangani isu perhubungan perusahaan dan pengurusan pekerja di tempat kerja.
COC telah diwujudkan pada tahun 1975. Persetujuan terhadap COC telah ditandatangani pada 9 Februari 1975 oleh Menteri Buruh dan Tenaga Rakyat pada ketika itu, Majlis Pertubuhan Majikan-majikan Malaya dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia.
COC dihasilkan melalui perbincangan secara tripartit yang melibatkan tiga pihak, iaitu kerajaan melalui Kementerian Buruh dan Tenaga Rakyat pada ketika itu, wakil Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia serta wakil Pertubuhan Majikan-majikan Malaya.
COC diwujudkan untuk menetapkan prinsip dan garis panduan mengenai amalan perhubungan perusahaan bagi mencapai keharmonian perusahaan yang lebih memuaskan serta mewujudkan tempat pekerjaan yang kondusif.
COC diguna pakai oleh majikan, pekerja dan kesatuan sekerja sebagai garis panduan dalam menangani isu perhubungan perusahaan. Kerajaan melalui JPPM, Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja dan Mahkamah Perusahaan turut memastikan amalan COC dipatuhi dalam menangani isu pertikaian perusahaan.
Kementerian bercadang untuk menyemak dan mengemas kini COC bagi menambah baik garis panduan sedia ada serta memastikan pendekatan terhadap perhubungan perusahaan di tempat kerja kekal selaras dengan trend perburuhan semasa.